Friday 28 September 2012


PERPADUAN NEGARA

Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.

Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar

Tuesday 18 September 2012


Kekok di Bumi Malar Mekar
Mahani Bt.Hj. Mustapha (Mesa)

                Tepat jam 7.50 pagi baru aku sampai di sekolah untuk mengatur jadual perjalanan ke Taman Negara Kuala Koh bersama-sama dengan 36 orang pelajar. Kebiasaaannya aku akan sampai ke sekolah lebih kurang pukul 6.50 pagi. Bukannya tak dapat tidur tetapi itu adalah fiil sejak aku masih di zaman persekolahan lagi. Kehadiran awal adalah sudah sebati dalam diri.
            “Cikgu datang lewat hari ni?” tegur rakan yang tercegat di pintu pagar menanti kehadiran pelajar yang hadir lewat.
            “Saya nak bertolak ke Taman Negara Kuala Koh untuk bawa pelajar yang ada program di sana”, jawabku ringkas.
            Unit Beruniform Briged Bakti mengadakan Program Relaks Minda ke Taman Negara Kuala Koh dalam daerah Gua Musang, Kelantan. Program ini adalah untuk melihat keadaan sebenar flora dan fauna secara realiti. Tambahan pula program ini juga dapat melapangkan minda para pelajar khususnya pelajar tingkatan 5 yang baru sahaja selesai menduduki Peperiksaan Percubaan SPM. Program Relaks Minda disertai oleh 36 orang pelajar dan 5 orang guru pengiring.
            Walaupun sudah seminggu aku demam tetapi semangat untuk ke Kuala Koh tidak dapat disembunyikan. Jika ikutkan hati memanglah tidak larat. Seingat aku sudah tiga kali aku menukar ubat semata-mata untuk cepat sembuh dan kebah daripada demam. Aku membawa ketiga-tiga orang anakku supaya mereka mengenali Bumi Malar Mekar yang sering dicanang oleh rakan-rakan yang pernah ke sana. Bukan setakat cerita yang menyeronokkan malah ada juga cerita yang menyeramkan tetapi aku buat tak endah sahaja kerana hati dah meronta-ronta ingin ke sana.
            “Ingat cikgu, ada pelajar kita yang pernah nampak hantu di atas pokok pada waktu malam”, kata salah seorang guru lelaki.   
            “Insyaallah rasanya semuanya selamat kerana saya dah pesan kepada para pelajar supaya jaga mulut dan jangan capoi”, jawabku bersahaja.
            “Pada malam pertama kami pergi, pelajar perempuan menjerit dan menangis kerana takut, jadi terpaksalah guru-guru berkawal di khemah pelajar. Alih-alih pelajar tu dapat tidur, kami guru ni pula yang rasa seram dan tak boleh nak tidur”, Cikgu Mat mengomel.
            “Eh! Cikgu telan ubat demam, boleh ke nak pergi? Di sana semuanya aktiviti lasak”, Cikgu Sha pula mencelah.
            “Nanti oklah, demam urat aje ni...” kataku untuk menyembunyikan demam yang tak kebah-kebah sejak seminggu yang lalu.
            “Mari adik, kita ke dewan kerana umi nak pastikan persembahan dikir barat pelajar untuk majlis persaraan berjalan lancar ”, kataku kepada anak lelaki bongsu tahun lima.
            Alhamdulillah semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Harap-harap sepanjang peninggalanku majlis tersebut berjalan lancar, amin... Jam 10 pagi, aku bergegas pulang untuk  menguruskan barang-barang dan bekalan nasi pelajar. Cikgu Li dan beberapa orang guru lagi memastikan pelajar berkumpul  dan menaiki bas di padang sekolah. Nampaknya demam aku menjadi-jadi tiada tanda-tanda mahu kebah. Aku bertawakal kepadaNya semoga kesihatanku baik sepanjang tiga hari dua malam di Taman Negara Kuala Koh.
            Bas yang disewa khas bertolak dari sekolah pada jam 12 tengah hari dan tiba di persimpangan jalan Kuala Koh pada jam 4 petang. Kami terpaksa berhenti di persimpangan jalan kerana bas yang kami sewa khas tidak dapat meredah bukit yang curam. Kami dijanjikan dengan pengangkutan lain untuk naik ke puncak Taman Negara Kuala Koh. Kami menunggu hampir satu setengah jam sebelum dibawa naik ke destinasi. Semasa menunggu jip untuk membawa kami ke puncak, kami telah berehat di sebuah kedai yang boleh digambarkan kedai ‘pekan koboi’. Semasa menunggu di situ demam aku makin menjadi-jadi walaupun aku sudah menelan ubat sebelum dan semasa dalam perjalanan. Terfikir di benakku bahawa aku akan mati.
             “Ya Allah, panjangkanlah umurku tambahan pula anak-anak masih kecil dan siapa yang akan menjaga mereka”, bisik hati kecilku.
            “Makcik macam mana nak cepat kebah daripada demam?”, tanya aku secara spontan kepada makcik iaitu tuan punya kedai.
            Makcik tu hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Aku memberitahu kepadanya lagi bahawa aku telah menelan ubat demam semasa di dalam bas tetapi demam masih juga sama. Akhirnya dia telah menunjukkan kepadaku dan kak Ani seketul kulat sebesar penumbuk. Katanya itu adalah kulat susu rimau yang dibeli daripada orang asli di situ dengan harga seratus ringgit. Aku dan kak Ani hanya terdiam dan berpandangan antara satu sama lain. Timbul rasa sangsi sama ada betul atau tidak. Kami tidak berkata apa-apa hanya minta untuk pegang dan mengambil gambar sahaja. Makcik yang mahu disapa sebagai mek sahaja itu berlalu sambil mengambil kulatnya untuk disimpan.
             Lebih kurang lima minit kemudian mek keluar sambil membawa segelas air sejuk. Mek menghulur tiga hirisan  kecil kulat susu rimau untuk diberikan kepadaku supaya makan untuk meredakan demam. Aku sebenarnya takut bercampur bimbang mana tahu akan menjadi mudarat kerana aku baru saja menelan ubat lebih kurang satu jam yang lalu. Akhirnya aku makan juga dan memohon supaya Allah melindungi aku daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Dalam masa lima belas minit selepas makan kulat tersebut aku rasakan mataku semakin sepet dan kelopak mata terasa berat. Peluh mengalir umpama mata air yang tercabut daripada busar. Tanganku semakin lenguh dan tak sempat untuk menggabuih peluh. Di dalam hati timbul perasaan takut kerana bimbang ubat dan kulat yang aku makan boleh menjadi racun. Dalam hati hanya Allah sahaja yang mengetahui.
            Aku mula merasakan mukaku membengkak dan mata berair. Aku mula mengelabah tetapi aku sempat menyembunyikan perasaanku kerana tidak mahu anak-anak, rakan-rakan dan pelajar-pelajarku bimbang.
            “Assalamualaikum ayah, sekarang saya di persimpangan ke Kuala Koh sedang menunggu jip datang ambil untuk naik ke puncak”, kataku perlahan.
            “Waalaikumusalam, alhamdulillah selamat sampai. Anak-anak macam mana?”, ayahku bertanya.
            “Semuanya ok, tapi saya masih lagi demam , minta tolong ayah doakan supaya saya cepat kebah dan boleh meneruskan aktiviti di sini”, pintaku penuh mengharap.
            “Dah demam kenapa pergi juga?”, suara ayah seperti sedikit kesal dengan tindakanku.
            “Demam sikit aje, dah makan ubat tadi nanti baiklah demam”, aku cuba memancing simpati daripada ayah.
            “Baik-baik jaga diri dan semoga semuanya selamat”, ayah mula meletakkan telefon.
             Tunggu punya tunggu akhirnya jip yang dijanjikan tidak dapat mengambil kami. Sebagai gantinya kami cuma naik dua lori kecil. Guru-guru perempuan pula disediakan sebuah kereta Produa Kancil. Bagi kami itu adalah pengalaman yang amat berharga kerana selama ini kami belum pernah menaiki lori kecil secara beramai-ramai seolah-olah berada di negara seberang, Indonesia.
            Sepanjang perjalanan ke puncak Taman Negara Kuala Koh, aku cuba bayangkan macam mana keadaan tempat tersebut yang sering diroyak oleh rakan-rakan. Fikiranku terawang-awang memikirkan sesuatu yang tak pernah ku lihat. Sesekali kereta yang aku dan Kak Ani naiki terpaksa diperlahankan kerana melalui cerun yng curam dan dalam. Tambahan pula jalan yang berlubang-lubang dan ada tanah yang runtuh di bahu jalan. Pokok-pokok sawit menghiasi pemandangan kami selama hampir setengah jam mendaki. Di satu persimpangan menuju ke- simpang Taman Negara, aku melihat ada perkampungan orang asli di atas bukit. Anak-anak orang asli di situ seperti anak-anak orang kampung biasa. Cuma yang sedikit berbeza adalah rambut dan warna kulit mereka yang sedikit gelap. Semasa aku melalui kawasan perkampungan mereka, ada dalam kalangan anak-anak remaja lelaki mereka bermain sepak raga. Manakala kanak-kanak kecil pula sibuk bermain permainan seperti kereta kuda mainan. Orang-orang asli di situ juga boleh dikatakan sudah moden kerana petempatan mereka telah dibina oleh kerajaan dengan petempatan terancang yang sudah dilengkapi pelbagai infrastruktur. Betapa prihatinnya pihak kerajaan membantu golongan ini. Ada yang aku lihat remaja orang asli yang sudah pandai mewarnakan rambut menjadi perang. Mereka juga sudah punyai kenderaan sendiri iaitu kereta Proton Waja. Alangkah beruntungnya mereka...      
            Lebih kurang jam 6.20 petang, kami semua selamat tiba di puncak Taman Negara Kuala Koh. Rombangan kami telah disambut oleh pegawai Perhilitan yang bertugas. Sapaan mesra telah dapat menghilangkan segala kepenatan dan keindahan alam ciptaan Allah yang memukau pandangan menjadikan kami bersemangat semula. Langit yang mula berwarna kemerah-merahan dan burung-burung yang mula bertebaran untuk pulang telah menjadikan hatiku begitu asyik masyuk dan aku sudah jatuh hati.
             Selepas solat, kami berkumpul di dataran untuk mendengar taklimat ringkas daripada Cikgu Li. Pelajar lelaki telah diberikan tugas untuk memasang khemah manakala pelajar perempuan pula dikehendaki mengemas barang-barang yang dibawa. Nampaknya semua pelajar memberikan kerjasama yang amat baik dan cukup berdisiplin. Mereka semua tidak membuat onar.
            Selepas solat aku memberitahu kepada kak Ani tentang pembuluh darah di kakiku yang mulai nampak berdarah. Aku mengatakan bahawa berkemungkinan aku mengidap demam denggi seperti yang aku alami dua tahun yang lepas. Aku menceritakan kepada kak Ani lagi bahawa mungkin aku akan mati. Kak Ani memarahiku dan mengatakan insyaallah tiada apa-apa yang akan berlaku. Aku teringat kakak yang berada di Pasir Pekan. Aku mesti menceritakan keadaanku kerana sekurang-kurangnya jika berlaku apa-apa ada dalam kalangan keluargaku yang tahu. Aku tidak mahu menceritakan kepada ayah kerana aku tidak mahu ayah bimbang. Aku menyuruh kakak membeli ketam nipah di pasar Wakaf Baharu pada pagi Jumaat untuk dibuat sup. Kata orang kalau mengidap demam denggi digalakkan makan ketam nipah. Amalan inilah yang aku lakukan semasa aku mengidap demam denggi buat pertama kali dua tahun yang lepas.      
            Selepas solat maghrib dan makan malam, kami diarahkan oleh pegawai Perhilitan supaya berkumpul di dewan tepat jam sembilan malam. Kami telah diberi taklimat oleh En. Khairul tentang Jabatan Perhilitan, fauna dan flora yang menghuni hutan Taman Negara Kuala Koh. Pada jam sepuluh malam kami sudah mulakan aktiviti pertama iaitu ‘night walk’. Aktiviti ini adalah untuk melihat, mendengar dan menghayati kehidupan di dalam hutan pada waktu malam. Hampir satu jam kami masuk ke dalam hutan. Sepanjang meredah hutan pelbagai gelagat pelajar dapat ditonton antaranya ramai pelajar yang takut pacat. Kasut kami yang tenggelam dalam selut sudah tidak dihiraukan. Aku hanya memakai sandal bertali sahaja memandangkan keesokan hari kami akan meredah hutan daripada pagi hingga jam dua petang. Keadaan menjadi kurang fokus kepada hidupan di dalam hutan kerana masing-masing sibuk menepis pacat yang galak memanjat kaki dan betis kami.
            Aku mula menghitung pacat yang galak memanjat kakiku. Lebih kurang sepuluh ekor dan aku cukup hairan kerana pacat-pacat tersebut tidak menghisap darahku. Ini mengukuhkan lagi tanggapanku bahawa aku menghidap demam denggi. Mudah-mudahan tekaanku meleset dan tersasar. Aku melihat anak bongsuku Ammar menolong pelajar-pelajar perempuan membuang pacat yang mula galak. Sesetengah pelajar perempuan ada yang menjerit seolah-olah ternampak hantu kerana terlalu takut. Barulah aku tahu bahawa orang pantai tidak biasa dengan pacat kerana kawasan pantai tiada kawasan sawah bendang. Kebanyakkan pelajar yang mengikuti rombongan tersebut terdiri daripada anak-anak nelayan yang tinggal di kawasan tepi pantai.
            Dapat menjejakkan kaki ke ‘chalet’ terasakan nikmat yang tidak dapat digambarkan. Selepas membersihkan diri ala kadar, aku, Kak Ani dan Ammar mula melabuhkan diri untuk ke jeram lena dan mengharapkan dapat lelap hingga ke subuh. Aku mula meruyup tetapi  mataku tidak mahu pejam. Jenuh aku cuba tidur, tambahan pula demam yang tidak reda-reda dan disulam pula dengan sakit tekak. Air liur yang ku telan amat sukar untuk menembusi lubang halkum yang rasanya semakin menyempit. Doaku tak putus-putus supaya aku dapat menyertai aktiviti lasak yang akan bermula pagi esok.  
            Pada hari kedua iaitu 30 September 2011, kami diarahkan berkumpul di padang pada jam sembilan pagi untuk memulakan ‘canopy walkway’. Selepas bersarapan, pegawai Perhilitan memulakan aktiviti senaman ringan supaya dapat meregangkan otot-otot sebelum kami meredah hutan. Sebanyak lima ‘canopy walkway’ yang kami lalui sebelum meredah hutan untuk aktiviti ‘tiubing’. Sepanjang kami melalui ‘canopy walkway’ perasaan takut dan gayat menular dalam diri kerana ada jambatan gantung yang amat tinggi sehingga biji mata tidak dapat mengjangkau ke bawah. Hanya lima orang dibenarkan berjalan di atas jambatan gantung dalam satu-satu masa kerana atas faktor-faktor keselamatan. Kami dapat melihat pohon tualang yang sering kami lihat, dengar atau baca dalam buku-buku cerita yang menjadi kemegahan dan keangkuhan warga rimba. Kulitnya ibarat simen kerana licin, keras dan binatang seperti beruang tidak dapat memanjatnya untuk mencuri madu. Pohon ini berusia lebih kurang seratus tahun. Aku tak melepaskan peluang ini. Aku peluk, cium dan mengetuk-ngetuk batang pokok keramat ini. Kalau ada orang yang melihat gelagatku, sah mesti ada yang kata otak miring. Bagiku otak miringpun tak apa kerana belum tentu selepas ini dapat ke sini lagi. Aku menlangut untuk melihat sarang lebah di julai pohon tualang yang bergayutan. Sayup-sayup kelihatan dan perlu diamat-amati barulah cerak nampaknya.
            “Syukur... peluh dingin dan mungkin peluh penyakit keluar daripada tubuhku”, desis hati kecilku.
            “Macam mana boleh ke nak teruskan aktiviti mendaki?” tanya Kak Ani.
            “Insyaallah saya akan cuba dan minta Allah kuatkan semangat saya”, jawabku penuh sirna harapan.
            Sepanjang penjelajahan lasak tersebut, aku hanya berdoa supaya dapat meneruskan aktiviti dan diberikan kekuatan minda dan fizikal. Aku tidak mahu mengalah kerana kata orang tua-tua alang –alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang dah sampai ke Taman Negara Kuala Koh biarlah berbaloi kerana belum tentu bila aku akan sampai ke sini lagi. Aku bulatkan tekad dan azam, aku mesti lawan segala kesakitan dan demam yang masih bersarang dalam diri. Pepatah yang aku cipta sendiri untuk memujuk hati kecil ini ialah ‘oak senapah’ (tahan kesusahan/kesulitan untuk seketika). Aku cuba untuk tidak makan ubat. Aku ingin demam aku kebah secara semulajadi apabila aku mendaki bukit dan menuruni denai yang berlopak. Aku hanya makan ubat sakit tekak sahaja kerana aku tidak boleh menelan air liur dan makanan.
             Aku menelefon ayah sekali lagi untuk memaklumkan bahawa aku akan mengikuti aktiviti lasak di dalam hutan. Ayah hanya mendoakan supaya kami semua selamat. Itulah rutin aku jika berada luar dari Kota Bharu. Aku wajib memaklumkan kepada ayah apa yang aku lakukan dan di mana aku berada. Sekurang-kurangnya aku akan menelefon ayah dua kali sehari. 
            Seterusnya kami mula meredah hutan tebal lebih kurang satu setengah jam berjalan kaki untuk sampai ke sungai Kelah bagi aktiviti ‘tiubing’. Sebelum kami memulakan aktiviti ini, kami diajar bagaimana cara mengapungkan diri di dalam air dengan menggunakan jaket keselamatan.
            “Kak Ani macam mana ni saya tak tahu berenang, anak saya juga tak pandai”, jelasku.
            “Tak apa...  kan kita semua pakai jaket keselamatan lagipun pegawai Perhilitankan ada”, jawab kak Ani.
            Selepas itu kami  diarahkan mengambil satu tiub (sebesar tayar lori) seorang untuk dihanyutkan dari hulu sungai hingga ke pengkalan yang telah ditetapkan. Masa yang diambil untuk aktiviti  tersebut iaitu aktiviti kami dihanyutkan di dalam air lebih kurang satu jam. Pengalaman ini tidak dapat kami lupakan kerana ianya adalah satu aktiviti yang dapat melatih pelajar menjadi berani dan berdikari apabila tiub yang mereka gunakan tersangkut dahan pokok atau terlanggar batu. Ramai dalam kalangan pelajar yang takut air kerana air di hulu sungai amat sejuk dan kami menggigil apabila mencecah kaki ke dalam air sungai yang cukup cergas alirannya berlari. Deruan air yang kuat di celah-celah batu menambahkan lagi keunikan dan kebingitan sehinggakan suara kami tenggelam.
            Sepanjang aktiviti ini aku mengambil kesempatan untuk berehat dan sesekali tertidur semasa terapung di atas air. Ada ketika tiubku tersangkut di tebing sungai dan aku terpaksa menguis dengan tangan serta kaki. Aku tak dapat nak gambarkan perasaanku semasa aktiviti tiubing. Alangkah seronoknya walaupun aku tidak pandai berenang. Anak-anakku semuanya entah ke mana. Masing-masing terpaksa membawa diri untuk sampai ke pengkalan. Begitu juga dengan pelajar-pelajar semuanya membawa diri sendiri dan terpaksa mengemudi tiub masing-masing.     
            Pelbagai gelagat yang dapat dilihat di sepanjang sungai. Ada pelajar yang menarik akar pokok di tebing sungai semata-mata mahu tiba lewat ke pengkalan. Ada tiga hingga empat orang pelajar yang berkedudukan berderet dan bergerak dalam kedudukan seperti kereta api. Alangkah terhiburnya dan seronok apabila melihat para pelajar menjalani aktiviti yang tidak pernah mereka lakukan. Sesekali aku menjerit menyuruh pelajar lelaki melepaskan pegangan  pada akar pokok kerana akan membahayakan keadaan mereka.
            “Apek, Aus, Alif, Aitomen, lepas tangan tu pada akar pokok, bahaya...”, jeritku sekuat hati meh-meh nak pecah anak tekakku.
            Namun aku tahu bahawa suaraku tidak cukup kuat untuk didengari mereka. Aku cuba menggunakan bahasa isyarat supaya mereka faham. Akhirnya mereka mengikut arahanku. Anak didikku kebanyakkannya mempunyai panggilan manja. Aku menamakan mereka mengikut imej dan cara gaya yang tersendiri. Aku memanggil Apek kerana irasnya saling tak tumpah iras Khairul Fahmi Che Mat iaitu pemain bola sepak negara. Memang itulah cara aku mendekati dan mewujudkan kejeleketan.        
            Aku adalah kumpulan yang lewat sampai di pengkalan kerana memang kami sengaja  melengahkan masa supaya dapat menikmati keindahan alam yang begitu mengagumkan dan menakjubkan itu. Subhanallah tidak dapat hendakku gambarkan ciptaan Yang Maha Agung. Diri ini terasa kerdil dan naif.
            “Fuhh yoo... cikgu sempat tidur atas tiub...”, suara pelajar perempuan menjerit dari pengkalan yang berdekatan.
            Aku sempat melambai dan tersenyum sebelum tiubku disambar oleh pegawai Perhilitan yang memang sudah menunggu kami di pengkalan. Aku terjun turun daripada tiub dengan bantuan pegawai Renjer yang bertugas. Tiga orang anakku, rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar yang telah selamat sampai sudah mula mandi-manda air sungai yang terlalu sejuk hingga ke tulang hitam. Aku melihat mereka semua lencun dan menggigil tetapi masih babil untuk terus menyelam dan mandi. Muka mereka seperti mayat kerana pucat dan bibir yang biru kehitaman membuatkan aku ketawa dan terhibur sendirian. Inilah dikatakan tak kenal maka tak cinta, dah kenal maka tergila-gila. Akupun tumpang sekaki untuk menyelam. Bukanlah pandai tetapi buat teknik paling bodoh dan penakut. Aku tutup mata dan pekuk hidung dengan tangan. Apabila aku rasa nak lemas cepat-cepat aku bangun. Pada masa itu aku rasa satu keajaiban iaitu selepas aku menyelam. Aku rasa suhu badanku semakin menurun dan satu bunyi yang keluar dari dalam telinga seolah-olah membuang segala penyakit yang aku hidap selama ini jauh dihanyutkan dan dilarikan oleh arus sungai yang deras entah ke mana. Aku benar-benar bersyukur kepadaNya.
            “Setiap orang perlu membawa satu tiub besar dan jaket keselamatan naik ke pejabat di atas”, arah seorang pegawai Renjer.     
            “Pelajar lelakilah tolong angkut”, salah seorang pelajar perempuan menyuruh tanda meminta pertolongan kerana sudah tak larat.
            “Ambil satu sorang bukannya berat”, celah cikgu Li.
            Akhirnya semua pelajar mengikut arahan. Sebenarnya semuanya sudah letih kerana menjalani penjelajahan lasak, mandi-manda, menyelam dan berenang. Akupun memang sudah tidak larat tambahan pula terpaksa mendaki lebih kurang tiga puluh anak tangga yang curam sebelum sampai ke pejabat Taman Negara.
            “Selepas solat dan membersihkan diri semua pelajar wajib berada di kafetaria tepat jam tiga petang”, arahan tegas Cikgu Li.
            “Baik cikgu”, lemah saja bunyi jawapan pelajar yang berjalan bak kura-kura yang kalah dalam pertarungan sambil menjinjing kasut menuju ke khemah masing-masing.
            Selesai makan, para pelajar dibenarkan berehat dan menikmati keindahan alam sekeliling di sekitar khemah mereka. Sebelah petang pula pelajar diajar mengendalikan kompas untuk mengetahui arah yang tepat. Aktiviti ini adalah untuk pelajar. Masa inilah kami para guru dapat berehat lama sedikit. Tetapi Cikgu Li tetap setia dengan para pelajar. Cikgu Li menunggu pelajar menjalani aktiviti bersama-sama dengan pegawai Renjer.
            “Sukar nak mencari seorang guru yang betul-betul memberi sepenuh komitmen seperti Cikgu Li, aku sendiripun belum tentu”, desis hati kecilku. Aku tabik spring kepada Cikgu Li. Jika Cikgu Li bertukar ke- sekolah lain mungkin aku juga tidak aktif lagi dalam pasukan beruniform kerana tiada rakan kamceng.
            Selepas makan malam pada jam sembilan, kami diminta ke Bilik Pameran untuk melihat gambar, replika dan mendengar penerangan tentang kehidupan di situ. Para pelajar sibuk mengambil gambar untuk kenang-kenangan termasuklah aku yang tidak melepaskan peluang.
            Hari ketiga iaitu hari akhir kami di Taman Negara Kuala Koh pada 1 Oktober 2011. Para pelajar mula mengemas barang-barang dan meruntuhkan khemah. Pada jam lapan tiga puluh pagi, kami mula bergerak turun dari puncak Taman Negara Kuala Koh untuk pulang. Kami berkumpul di persimpangan jalan iaitu tempat kami mula-mula sampai pada hari pertama. Hampir jam sebelas  pagi kami bertolak pulang ke- pekan Tumpat. Dalam perjalanan pulang kami sempat singgah di gerai menjual lemang untuk membeli ole-ole sebagai buah tangan. Kami tiba di SMK Dato’ Biji Wangsa lebih kurang jam 2.30 petang.
            Kata orang jauh perjalanan luas pandangan, belajar daripada pengalaman adalah sesuatu yang amat berharga. Begitu juga dengan kerjasama yang amat baik daripada Jabatan Perhilitan Kelantan sepanjang tiga hari dua malam kami di sana. Sesungguhnya destinasi ke- Taman Negara Kuala Koh adalah suatu destinasi yang mengimbau dan megggamit sejuta memori. Selut, pacat, kesyahduan malam, kedinginan air sungai yang jernih, keriangan suara unggas, keajaiban flora ciptaan Allah dan alam yang memukau telah mengikat serta mengunci hatiku di sini supaya berkunjung buat kali yang kedua. Di sini kasihku tertumpah. Dairi terindah ini akan terpahat dalam untaian kenangan yang menjadi titik mula berputiknya cinta kepada kehidupan rimba ciptaan Yang Maha Esa. Insyaallah, aku akan datang lagi...wahai Taman Negara Kuala Koh. Mahabbah tidak akan terlerai di sini sahaja. Akanku pupuk dan bajai mahabbah ini kepada generasi pelajar yang akan datang supaya angau pada Bumi Malar Mekar yang kian pupus dan dan dirobek oleh kerakusan pembangunan sehinggakan jelek butir mata memandang. Sesungguhnya tiada yang dapat dirungkaikan dengan kata-kata, tiada foto yang dapat digambarkan dan dilukiskan. Semuanya terbentang di hadapan mata secara realiti bukannya di alam fata morgana. Ayuh sederap kita mewujudkan slogan ‘Hijaukan Bumi Malar Mekar’ agar generasi mendatang dapat menikmati alam warisan nenek-moyang kita.       

                                                           


Bumi Malar Mekar (Taman Negara Kuala Koh)
Mahani Bt.Hj. Mustapha (Mesa)
Keindahan mengimbau memori
pamitan dedaun menyeru batin
haruman bebunga menusuk
segar, nyaman dan keasyikan memandang.
                Suara nyaring sungai Kelah, Lebir
                dan bercantum dengan yang lainnya
                tidak pernah penat
                terus meredah tanpa menoleh ke belakang.
Kekadang terleka dek masyuk jiwa
jatuh hati tiada tara
tak terungkap dek untaian madah
tak tergambar dek pacaindera
semuanya menyeru dan menggamit.
                Kehadiran pasti
                buat kali kedua
                nafsu membuak-buak
                kecintaan tiada bertepi.
Taman Negara Kuala Koh cinta malar berputik
pandang pertama tulus dan suci.
                Hutan perawan perlu dipertahan
                nyah kerakusan dan kebuasan teknologi
                lestarikan Bumi Malar Mekar
                keagungan warisan berzaman.                              

Sunday 2 September 2012


Contoh Karangan Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia

            1 Malaysia, slogan yang telah diperkasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak membawa seribu erti kepada negara. Pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan tolak ansur agama selama ini pastinya dapat diperkukuhkan dengan laungan slogan 1 Malaysia. Sensitiviti pihak kerajaan yang sentiasa berusaha menyuburkan semangat perpaduan dalam masyarakat heterogen perlu diberi pujian. Bagaimanakah perpaduan kaum menatijahkan impak positif kepada negara? Tuntasnya, tepuk dada tanya selera.

            Secara dominan, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat ialah dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Keharmonian sesebuah negara pastinya sentiasa disokong oleh kestabilan politik yang jelasnya akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara. Hal ini pastinya mampu mewujudkan sebuah entiti masyarakat yang mementingkan kerjasama bak kata pepatah ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni serta secara tidak langsung dapat mengikis sikap individualistik. Tamsilnya, organisasi masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan adat resam mampu duduk semeja berjuang mempertahankan keharmonian negara daripada dicabuli pihak tertentu. Hal ini pastinya, dapat mengeratkan perpaduan kaum di negara kita dan negara bertambah gah di persada dunia.

            Nama negara juga akan disanjungi dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Malaysia pastinya akan menjadi ‘role model’ kepada negara-negara di pentas dunia, seterusnya akan dapat meningkatkan imej negara. Di negara lain, perpaduan berkemungkinan berada pada tahap yang amat rendah jika dibandingkan dengan negara kita yang mempunyai masyarakat yang bersatu padu. Contohnya pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa mantan Timbalan Perdana Menteri Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang cinta akan watan, kita perlu melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekalkan perpaduan antara kaum kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

            Selain itu dapat memajukan ekonomi negara dan seterusnya ekonomi Malaysia pasti bertambah mantap apabila perpaduan kaum dapat dikekalkan. Sektor ekonomi Malaysia yang mantap dan masih mampu bertahan jika dibandingkan dengan negara serantau yang berhempas pulas menghadapi kepincangan ekonomi. Seterusnya pelabur asing tidak bimbang untuk melabur di Malaysia kerana keadaan negara kita yang aman dan damai, sekali gus dapat menjana ekonomi supaya terus berkembang. Sebagai contohnya rakyat yang bersatu padu akan berusaha mengerah keringat bagi memastikan negara terus maju dan menggembeleng tenaga memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, rakyat Malaysia amat diharapkan agar asas perpaduan yang telah lama bertapak mampu diperkukuhkan dan diperkasakan lagi.

           

            Di samping itu, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam masyarakat juga dapat menarik  kedatangan pelancong ke Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, salah satu sumber ekonomi negara adalah dalam sektor pelancongan yang dapat menjana ekonomi negara. Asas perpaduan yang kukuh dan kebudayaan yang unik di samping kepelbagaian adat resam yang membentuk identiti sesebuah masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung. Sebagai tamsilnya, pelancong amat tertarik dengan kepelbagaian kaum di negara kita iaitu terdiri daripada tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang dapat menonjolkan imej negara. Hal ini, seterusnya mampu menarik kedatangan pelancong dan dapat menjana ekonomi Malaysia secara tidak langsung.

            Konklusinya, terdapat pelbagai kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini. Rakyat Malaysia amat diseru agar mempertahankan maruah bangsa hingga ke titisan darah yang terakhir dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan. Ingatlah, Keranamu Malaysia, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Oleh itu, semua pihak perlu menggembeleng tenaga bagi memurnikan dan mengekalkan perpaduan antara kaum.          































Lembaran Kerja

Isi tempat kosong berpandukan contoh karangan.


BIL
Kosa kata
Ungkapan menarik
Wacana ayat
1



2



3



4



5



6



7



8



9



10



11



12



13



14



15



16



17



18



19



20



21



22



23



24



25




        











Lembaran Kerja

Isi tempat kosong berpandukan contoh karangan.


BIL
Kosa kata
Ungkapan menarik
Wacana ayat
1
sensitiviti
ke bukit sama didaki,ke lurah sama dituruni
Tuntasnya
2
heterogen
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
Tamsilnya
3
natijah
sudah terang lagi bersuluh
Hal ini pastinya
4
impak
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Contohnya
5
positif

Oleh hal yang demikian
6
dominan

Selain itu
7
idea

Sebagai contohnya
8
entiti

Oleh itu
9
individualistik

Di samping itu
10
organisasi

Hal ini seterusnya
11
gah

Konklusinya
12
formula


13
watan


14
proaktif


15
imej


16
’role model’


17
mantan


18
mantap


19
menggembeleng


20
unik


21
identiti


22



23



24



24